Lubuk hati yang dalam tak terselam. Untuk anda, saya buka sedikit ruang untuk mengenali siapa diri saya.
Seperti ada sesuatu yang terbungkam dalam sanubari. Ada kata yang tak mampu diluahkan. Ada rindu yang tak dapat diucapkan. Masa berlalu tanpa sempat kita menoleh ke belakang.
Kenapa sukar untuk jujur? Kenapa sukar untuk kita berdepan dengan kenyataan? Dan kenapa kita perlu berpura-pura? Kenapa kita tak mampu berterus terang, jelas dalam setiap perbuatan?
Realitinya hidup kita sehari-hari dilonggokkan dengan drama dan lakonan. Hipokritasi manusia ciptaan dunia masa kini. Kita tercari-cari erti kehidupan sejati. Kita hilang arah. Kita sesat dalam kelompok kepura-puraan. Terlalu ramai yang bertopeng. Terlalu ramai pula di antara mereka itu bijak mengaburi minda dan perasaan. Dalam waspada kita terkena. Dalam berjaga kita terleka. Terlupa.
Akhirnya kita menjadi seperti mereka. Pelakon pentas yang mahir mencari peluang dan mangsa. Kita tanpa sedar menipu diri kita sendiri. Kita bermusuh dengan cinta. Kita mengkhianati makna kasih dan sayang. Kita biarkan rindu menjadi benci. Semakin hari, hati kita menjadi semakin kelabu. Perasaan semakin tepu. Hingga tak ada ruang untuk kejujuran dan ketulusan hinggap dalam hati kita. Hingga jiwa kita sarat dan sesak dengan dendam amarah. Hingga kita memandang sekeliling dengan renungan yang sangat kosong. Sangat sinis. Sadisnya, kita menjadi salah sebuah boneka kayu yang untuk dilelong harga dirinya.
Kita mencari sebuah kehidupan untuk dimiliki. Secara ringkasnya kita mahu memiliki apa yang kita ingini dalam hidup kita. Maka kita mengharapkan apa yang kita temui adalah kesempurnaan. Kita genggam hari ini untuk kita bawa keesokannya. Kita dakap kemas apa yang kita fikir adalah hak kita. Kita leraikan semua yang kita rasa langsung tak penting dan bermakna. Kita mula mengharap untuk mimpi menjadi kenyataan.
Manusia berlari mengejar bintang. Dan di antara mereka terlalu ramai yang jatuh tersungkur. Mereka mendongak ke langit, menyedari yang bintang takkan mampu digapai dengan hanya berlari.
No comments:
Post a Comment